Pentadbiran rejim Zionis, semalam, secara dasarnya meluluskan pembinaan 2,000 unit lagi rumah haram, termasuk 1,000 yang telah disiapkan, di beberapa kawasan di Tebing Barat.

Beberapa portal berita berbahasa Hebrew mendedahkan 55 unit rumah dibina di penempatan haram di Beit El; 200 di Maale Efrayim; dan 30 di Ateneul, sebagai tambahan kepada ratusan unit di Alfeh Minashei; Beit Aryeh dan Adam.

Minggu lalu, Majlis Perbandaran Baitulmaqdis dan Pentadbiran Tanah Israel mengumumkan kelulusan pembinaan 20,000 unit perumahan baharu di Baitulmaqdis, selain mewujudkan kawasan perindustrian dan perdagangan baharu, seperti hotel di kawasan seluas tiga juta meter persegi.

Sumber melaporkan rejim Zionis memperuntukkan kira-kira AS$275.4 juta untuk mengubahsuai kemudahan asas, termasuk di kawasan diduduki secara haram di Baitulmaqdis Timur.

Sebagai tambahan, kerajaan rejim pengganas Israel juga meluluskan 650 unit perumahan haram baharu di kawasan diduduki di Beit El – satu daripada tanah yang diduduki di Tebing Barat – sekali gus menjadikan ia sebagai penempatan haram terbesar di kawasan itu.

Sejak rejim Israel menduduki Tebing Barat, termasuk di Baitulmaqdis Timur pada 1967, antara 500,000 hingga 600,000 warganya berpindah ke penempatan yang diduduki secara haram.

– IsmaWeb