Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump semalam mengancam untuk menggunakan pasukan tentera bagi menutup sepenuhnya sempadan AS – Mexico.

Trump mengeluarkan amaran tersebut menerusi Twitter, susulan kedatangan lebih 3,000 imigran dari El Salvador, Honduras dan Guatemala menuju ke negara Uncle Sam itu.

Terdahulu, beliau turut mengugut untuk menghentikan pembayaran bantuan kepada tiga negara terbabit berikutan kemasukan secara haram.

” Sebagai langkah tambahan, selain menghentikan pembayaran kepada negara terbabit yang dilihat tidak mempunyai sebarang kawalan ke atas populasinya, saya mendesak Mexico untuk menghentikan ‘serangan’ ini, jika tidak saya akan menggunakan pasukan tentera bagi MENUTUP SEMPADAN SELATAN KAMI!,” tulis Trump.

Sementara itu, kumpulan pendatang dari Amerika Tengah terbabit menyatakan hasrat mahu memasuki AS demi melarikan diri daripada keganasan dan cengkaman kemiskinan.

Trump yang menentang keras kebanjiran pendatang haram ke AS, sebelum ini dikecam hebat komuniti antarabangsa berikutan dasar ‘toleransi sifar’ yang dilaksanakan terhadap keluarga imigran yang cuba memasuki negara berkenaan.

Dasar yang dianggap kejam dan tidak berperikemanusian itu menyaksikan ribuan kanak-kanak pendatang dipisahkan daripada ibu bapa, malah mereka turut dikurung di pusat tahanan. – BBC