Pasukan tentera Israel pada Ahad menahan dua nelayan Palestin berhampiran pantai Semenanjung Gaza yang dikepung, lapor agensi berita Turki Anadolu memetik kenyataan kesatuan nelayan tempatan.

Nelayan terbabit dikenali sebagai Isam Nabil Al-Akra, 24, dan adiknya Riad Al-Akra, 20, menurut kesatuan itu dalam satu kenyataan bertulis.

Tentera Israel turut merampas bot nelayan terbabit, menurut kenyataan itu.

Setakat ini, tentera Israel belum mengeluarkan sebarang kenyataan rasmi berhubung penahanan itu.

Menurut angka Palestin, kira-kira 50,000 penduduk Gaza memperoleh pendapatan dengan menangkap ikan.

Selepas serangan Israel pada 2014 ke atas Semenanjung Gaza yang ditadbir Hamas — yang menyebabkan lebih 2,150 penduduk Palestin terbunuh — Israel mula membenarkan nelayan Palestin menangkap ikan di kawasan perairan berhampiran pantai Gaza.

Pada Mei, tentera Israel berkata zon perikanan telah dikecilkan kepada 10 batu nautika berbanding 15 selepas belon api dilancarkan dari Gaza ke Israel.

Para pegawai Palestin berkata tentera laut Israel sering melepaskan tembakan ke arah nelayan di Gaza atas alasan mereka menangkap ikan di luar zon yang dibenarkan. – Bernama