Laungan ‘Daulat Tuanku’ sebanyak tiga kali dan tembakan meriam 21 das bergema di Istana Negara di sini, hari ini bagi menandakan penyempurnaan istiadat pertabalan Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustaffa Billah Shah sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-16.

Datuk Paduka Maharaja Lela Azuan Effendy Zairakithnaini mengetuai laungan ‘Daulat Tuanku’ di dalam Balairung Seri manakala tembakan meriam dilepaskan oleh Pasukan 41 Bateri Rejimen Artileri Diraja Kem Sungai Buloh sejurus Sultan Abdullah menyempurnakan lafaz ikrar sebagai Yang di-Pertuan Agong.

Istiadat pertabalan itu, yang dilaksanakan dengan penuh tradisi dan adat istiadat warisan Kesultanan Melayu, menjadi lebih bermakna bagi Sultan Abdullah, yang lengkap memakai ‘Muskat’, kerana hari ini juga merupakan ulang tahun keputeraan ke-60 Seri Paduka.

Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah, yang anggun berbusana Tenun Pahang berona putih gading, turut berangkat ke istiadat pertabalan yang penuh bersejarah itu.

Istiadat Pertabalan itu, yang disiarkan secara langsung oleh kesemua stesen televisyen tempatan ke seluruh negara, amat signifikan kerana sarat dengan nilai estetika dan sentuhan peribadi Tunku Azizah, sekali gus mencatat detik indah bagi Seri Paduka berdua.

Pasangan diraja itu, yang sentiasa tampil romantik, turut mencatat sejarah tersendiri kerana Seri Paduka berdua masing-masing merupakan anakanda kepada dua Yang di-Pertuan Agong terdahulu.

Keunikan juga terserlah apabila Sultan Abdullah menggunakan singgahsana sama yang pernah digunakan oleh Almarhum Paduka Ayahanda semasa ditabalkan menjadi Yang di-Pertuan Agong ketujuh.

Lebih nostalgik, detik bersejarah itu turut dikongsi bersama puteri bongsu Seri Paduka, Tengku Puteri Jihan Azizah ‘Athiyatullah yang mengenakan busana yang pernah dipakai Tunku Azizah semasa menyaksikan pertabalan ayahanda baginda Almarhum Sultan Iskandar sebagai Yang di-Pertuan Agong kelapan.

Istiadat pertabalan hari ini juga mencatat sejarah apabila Tun Dr Mahathir Mohamad, selaku Perdana Menteri ketujuh, mengisytiharkan Sultan Abdullah sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-16.

Semasa menjadi perdana menteri keempat, beliau pernah mengisytiharkan Sultan Ahmad Shah dan Sultan Iskandar masing-masing sebagai Yang di-Pertuan Agong ketujuh dan kelapan.

Istiadat pertabalan hari ini menyaksikan Sultan Abdullah, dalam lafaz ikrar sebagai Yang di-Pertuan Agong, bertekad melaksanakan pemerintahan seadil-adilnya bagi Malaysia, mengikut undang-undang dan Perlembagaan Negara selain memelihara dengan sempurna agama Islam dan berdiri teguh di atas pemerintahan yang adil dan aman.

Dr Mahathir, semasa mempersembahkan ucapan tahniah dan taat setia, pula berkata kemakmuran bersama rakyat menjadi teras komitmen kerajaan yang diterajui parti Pakatan Harapan (PH) dalam merencana program dan dasar bagi merealisasikan Malaysia sebagai sebuah negara maju, bermaruah dan merdeka.

Beliau berkata walaupun baru sahaja memegang tampuk pemerintahan kira-kira setahun, kerajaan telah menunjukkan komitmen yang tinggi dan berhasil dalam banyak perkara mengambil kira kedudukan kewangan negara yang diwarisi sebelumnya.

“Dalam hal ini, Patik akan terus memastikan jentera Kerajaan Tuanku tidak berpeluk tubuh dan berpuas hati dengan pencapaian-pencapaian yang telah dicapai setakat ini.

“Usaha-usaha akan terus dilipat ganda untuk mengembalikan Malaysia menjadi antara paksi ekonomi penting di Asia,” kata Dr Mahathir pada pertabalan itu yang pertama kali diadakan semasa pemerintahan kerajaan PH.

Selain Raja-Raja Melayu dan Permaisuri masing-masing, dua tetamu diraja dari luar iaitu Putera Mahkota Abu Dhabi merangkap Timbalan Komander Tertinggi Angkatan Tentera Emiriah Arab Bersatu Sheikh Mohamed Zayed Al-Nahyan dan Sultan Brunei Sultan Hassanal Bolkiah dan isteri, Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha turut berangkat ke istiadat pertabalan itu.

Ia turut dihadiri wakil Raja-Raja Melayu, Yang Dipertua-Yang Dipertua Negeri, Perdana Menteri, Timbalan Perdana Menteri dan menteri-menteri Kabinet selain tetamu-tetamu kehormat yang terdiri daripada ketua-ketua Diplomat Asing dan pegawai-pegawai kanan kerajaan.

Sultan Abdullah, yang diputerakan pada 30 Julai 1959 di Istana Mangga Tunggal Pekan, adalah cahaya mata keempat dan putera sulung Almarhum Sultan Ahmad Shah dan Almarhum Tengku Ampuan Afzan Tengku Muhammad.

Seri Paduka dipilih menjadi Yang di-Pertuan Agong ke-16 pada Mesyuarat Majlis Raja-Raja Khas di Istana Negara pada 24 Jan lepas berikutan peletakan jawatan oleh Yang di-Pertuan Agong ke-15 Sultan Muhammad V pada 6 Jan lalu.

Sultan Abdullah mendirikan mahligai dengan Tunku Azizah pada 6 Mac 1986.

Seri Paduka dikurniakan empat putera dan lima puteri. – Bernama