Tentera Darat telah mengatur gerak 12 skuadron Rejimen Askar Jurutera Diraja (RAJD) pasukan Kimia, Biologi, Radioaktif dan Nuklear (CBRN) ke Sungai Kim Kim, Pasir Gudang, Johor bagi memberi bantuan kepakaran berikutan pencemaran sisa toksin di kawasan tersebut.

Tentera Darat dalam satu kenyataan memaklumkan, Pasukan Tinjau CBRN terdiri daripada empat pegawai dan 21 anggota diketuai oleh Leftenan Kolonel Norhelmi Ismail telah melapor diri di Pusat Kawalan Tempat Kejadian (PKTK) Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), Dewan Serbaguna Taman Pasir Putih, semalam.

“Pasukan Tinjau CBRN ini dilengkapi beberapa peralatan khusus iaitu ChemPro, Lightweight Chemical Detector (LCD), peralatan uji kaji dan beberapa sut khas.

“Pasukan Nyah Cemar CBRN pula sedang bersiap sedia untuk atur gerak membantu pihak berkuasa melaksanakan tugas pembersihan anggota dan kawasan tercemar dan akan membantu pasukan Unit Bahan Berbahaya (Hazmat) dalam pelaksanaan operasi di lokasi kejadian,” kata kenyataan itu.

Menurut kenyataan itu lagi, Tentera Darat juga telah menghantar Pasukan Pemindahan Mangsa (CEU) daripada dua Batalion Ubat dengan kekuatan seorang Pegawai Perubatan dan tiga paramedik bersama sebuah ambulan yang akan bergabung dengan Pasukan Nyah Cemar CBRN untuk memberi bantuan kepada Tim Tentera Darat yang terlibat dalam operasi.

“Kesemua pegawai dan anggota yang terlibat ditempatkan di Rejimen 501 Askar Wataniah, Kem Tebrau, Johor Bahru. Bantuan lain akan diberi dari masa ke masa mengikut keperluan operasi,” ujarnya.

Terdahulu, Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu dalam perbahasan usul tergempar mengenai pencemaran toksik hari ini telah mengerahkan pasukan CBRN dan Unit Kecemasan Tempur untuk membantu proses pemulihan kesan bencana akibat pencemaran Sungai Kim Kim di Pasir Gudang, Johor.

Mohamad turut memberitahu, pihak tentera sentiasa berada dalam keadaan bersedia dan akan bertungkus-lumus membaik pulih keadaan. – Utusan Online