Majlis Tertinggi (MT) Umno akan mengadakan mesyuarat dalam waktu terdekat bagi membincangkan hala tuju dan tindakan parti susulan spekulasi penahanan dan pendakwaan yang bakal dibuat terhadap Presidennya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Timbalan Presiden Umno, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, apa jua keputusan yang dibuat oleh MT adalah merupakan pendirian parti.

“Yang pasti, saya dan kepimpinan Umno memberi jaminan bahawa penahanan ini tidak akan melemahkan atau menjadi halangan kepada Umno untuk meneruskan agenda pemulihan yang sedang dilakukan di dalam parti.

“Khidmat bakti Umno kepada rakyat Malaysia juga tidak akan berhenti dan terganggu,” katanya melalui kenyataan media, hari ini.

Hari ini, Ahmad Zahid dikehendaki hadir ke Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Putrajaya pada jam 3 petang selepas suruhanjaya itu menyerahkan notis serah diri, 1.45 petang semalam.

Susulan itu, Ahmad Zahid dikatakan bakal didakwa di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, esok.

Ahli Parlimen Bagan Datuk itu sebelum ini sudah lima kali dipanggil SPRM untuk dirakamkan percakapan berhubung siasatan membabitkan penyelewengan dana sebuah yayasan.

Dalam pada itu, Mohamad berkata, penahanan dan pendakwaan terhadap Ahmad Zahid seharusnya tidak dispekulasikan dan dijadikan modal untuk menabur pelbagai persepsi yang salah dan tidak berasas.

“Apa yang lebih penting, ahli Umno dan semua pihak mesti bertenang dan mengambil pendekatan rasional dalam berhadapan dengan semua ini. Saya menyeru agar kita tidak terburu-buru dalam segala kenyataan, tindakan dan perlakuan kita.

“Kita mesti menghormati pelaksanaan proses undang-undang dan menaruh keyakinan bahawa ia akan dilunaskan dengan cara yang selari dan bersesuaian dengan keluhuran undang-undang dan sifat Malaysia sebagai negara hukum,” katanya.

– Sinar Harian