Dua atau lebih bungkusan yang dihantar ke Pentagon minggu ini disyaki mengandungi sejenis racun berbahaya yang boleh membawa maut.

Menerusi laporan Bangkok Post, jurucakap Jabatan Pertahanan, Chris Sherwood berkata, sekurang-kurangnya dua bungkusan yang mencurigakan telah dialamatkan kepada seseorang di bangunan itu.

Bagaimanapun, ia telah disekat di pusat saringan sebelum masuk ke dalam bangunan berkenaan.

“Sebagai sebahagian proses saringan, pihak berkuasa telah mengesan bungkusan yang mencurigakan dan ia dipercayai mengandungi racun risin,” kata Sherwood.

Katanya, pihak berkuasa masih menunggu penggesahan kandungan bungkusan berkenaan selepas polis Pentagon merujuk perkara itu kepada Biro Siasatan Persekutuan (FBI) untuk siasatan lanjut.

Manakala FBI menerusi kenyataan yang dikeluarkan, dua sampul yang mencurigakan itu yang telah disaring di bahagian pengiriman Pentagon.

“Ejen Khas FBI telah merampas dua sampul yang mencurigakan itu yang telah disaring di bahagian pengiriman Pentagon.

“Sampul itu akan melalui beberapa ujian untuk mengesan kandungannya,” katanya.

Sementara itu, Jurucakap Pentagon, Kolonel Rob Manning berkata, semua kiriman yang diterima Pentagon pada Isnin akan disaring dan diletakkan di bahagian kuarantin bagi memastikan ia tidak membahayakan petugas di bangunan itu.

Racun dalam bentuk bijian itu boleh membawa maut jika ditelan, dihidu atau disuntik dan ia 6,000 kali lebih kuat berbanding sianida, malahan tidak mempunyai penawar.

– Astro Awani