Siasatan kerajaan Amerika Syarikat (AS) mendapati tentera Myanmar telah melaksanakan kempen pembunuhan beramai-ramai, rogol dan kekejaman yang tersusun ke atas etnik Islam Rohingya.

Kerajaan berkata, laporan oleh Jabatan Negara AS yang disiarkan semalam boleh digunakan bagi mengesahkan sekatan atau tindakan lain ke atas pihak berkuasa Myanmar tetapi ia tergendala hampir sebulan susulan perdebatan hangat sama ada operasi itu mahu digambarkan sebagai genosid atau jenayah kemanusiaan.

Laporan terbabit yang pertama kali dilaporkan Reuters adalah hasil daripada lebih seribu temuramah ke atas pelarian lelaki dan wanita Rohingya di Bangladesh selepas melarikan diri susulan operasi besar-besaran di wilayah Rakhine Oktober tahun lalu.

“Laporan ini mendedahkan bahawa keganasan di utara negeri Rakhine kebelakangan ini adalah gerakan ekstrim pada skala besar dan meluas yang dirancang khas untuk memusnahkan populasi serta menghalau penduduk Rohingya.

“Skop dan skala operasi ketenteraan itu menunjukkan ia dirancang dan dilaksanakan dengan begitu teliti,” kata laporan setebal 20 halaman itu.

Penduduk yang terselamat turut menceritakan kesengsaraan dialami dan disaksikan sendiri, termasuk pembunuhan kanak-kanak serta bayi oleh anggota tentera, tembakan ke atas lelaki tidak bersenjata dan mangsa dicampak ke dalam kubur atau ditanam hidup – hidup.

Mereka turut memberitahu bahawa serangan seksual tentera Myanmar terhadap wanita Rohingya dilakukan secara terbuka di khalayak ramai.

Seorang saksi menceritakan bagaimana beliau melihat empat remaja perempuan Rohingya diculik, diikat dengan tali dan dirogol selama tiga hari sebelum ditinggalkan dalam keadaan nyawa-nyawa ikan.

HMetro