Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) memerlukan dana segera berjumlah AS$50.5 juta (RM209.4 juta) bagi membantu mangsa gempa dan tsunami di Sulawesi, Indonesia.

Pelan bantuan itu dirangka secara bersama oleh PBB melalui perundingan dengan pegawai kerajaan Indonesia.

Menurut badan dunia itu, pelan terbabit bertujuan membantu 191,000 orang bagi tempoh tiga bulan akan datang.

Ia menganggarkan 65,000 kediaman rosak dengan 10,000 daripadanya musnah sama sekali akibat tsunami manakala 15,000 lagi rosak teruk kerana gempa.

“Seminggu selepas bencana berlaku, jumlah kerosakan keseluruhannya masih lagi dinilai,” kata Penyelaras Tetap PBB di Indonesia, Anita Nirody.

“Mereka yang terjejas khususnya yang kehilangan rumah dan semua harta benda, memerlukan tempat perlindungan, akses kepada air bersih, rawatan kesihatan dan bantuan psikologi.

“Dana yang diminta itu akan membenarkan komuniti bantuan kemanusiaan memberi sokongan lebih berkesan kepada pertubuhan tempatan dan kerajaan di sana,” katanya.

Hampir 1,600 orang terbunuh disebabkan gempa dan tsunami yang menyusul dengan lebih 1,000 lagi hilang, Palu mengalami kemusnahan besar hingga banyak kawasan penempatan hanya tinggal kayu dan besi sahaja. – AFP

– Sinar Harian