Pakistan mendesak Majlis Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa Bersatu (UNHCR) campur tangan bagi menghentikan krisis kemanusiaan yang berlaku di Kashmir, selepas India bertindak menarik balik semua hak autonomi seperti yang dijanjikan pada 1947.

Menerusi surat yang dihantar ke agensi itu, Pakistan meluahkan kebimbangan apabila ketegangan di Kashmir semakin meningkat sehingga ada rakyat yang terkorban.

Menteri Luar Pakistan, Shah Mehmood Qureshi berkata, kerajaannya mengetengahkan secara terperinci konteks dan kesan India memansuhkan status istimewa Jammu dan Kashmir sejak 5 Ogos lalu.

Katanya, India telah mencabul Piagam PBB, resolusi Majlis Keselamatan yang berkaitan, undang-undang antarabangsa dan komitmen negara itu sendiri.

“Apa yang berlaku sekarang jelas penderitaan rakyat dan pelanggaran hak asas penduduk Jammu, Kashmir sejak sekian lama,” katanya.

Jammu dan Kashmir adalah wilayah Himalaya yang dikuasai India, di mana sebelum ini ditadbir secara autonomi menerusi artikel 370 Perlembagaan India.

Artikel 370 membenarkan Jammu dan Kashmir bebas mentadbir sendiri dalam semua hal, kecuali hal ehwal luar, pertahanan dan komunikasi.

Bagaimanapun, sejak 3 minggu lalu, Kerajaan India telah memansuhkan peruntukan Perlembagaan berkenaan kepada Jammu dan Kashmir, sekali gus berlaku pertempuran kerana membantah keputusan yang dianggap ‘curang’ kepada seluruh rakyat. – Agensi