Satu misi pencarian fakta Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) melaporkan bahawa Myanmar akan tetap meneruskan niatnya untuk menghapuskan etnik minoriti Islam Rohingya, dengan menghalalkan pembunuhan beramai-ramai di negara itu.

Dalam satu laporan semalam, Majlis Hak Asasi Manusia PBB berkata, sekurang-kurangnya 600,000 Rohingya hidup dalam keadaan terseksa di sana.

Laporan mengenai Myanmar adalah yang terakhir yang akan dibentangkan di Geneva, hari ini.

“Myanmar menafikan perbuatan biadab mereka, memalsukan fakta, enggan bekerjasama untuk melakukan siasatan salah laku, menindas, dan merampas tanah milik Rohingya,” kata laporan itu.

Sementara itu, peguam hak asasi manusia Australia yang juga ahli panel, Christopher Sidoti dalam satu laporan berkata, penduduk Rohingya yang masih tinggal di negara itu berisiko dan terancam untuk berhadapan dengan pembunuhan beramai-ramai.

Beliau berkata, sejuta pelarian Rohingya, yang kebanyakannya berada di Bangladesh tidak mungkin akan kembali ke tanah air mereka.

Pada masa sama, rejim Myanmar didakwa melakukan pembunuhan, perkosaan, rompakan dan pelbagai jenis jenayah lain ketika tindasan terhadap etnik Rohingya, yang memaksa lebih 740,000 daripadanya menjadi pelarian ke Bangladesh pada Ogos 2017.

Ketua tentera Myanmar, Min Aung Hlaing adalah antara individu yang bertanggungjawab ketika pembunuhan beramai-ramai pada dua tahun lepas.

Selain itu, Christopher berkata, pertubuhannya telah meluluskan bukti yang dikumpulkan daripada hampir 1,300 wawancara bersama saksi mengenai penindasan di Myanmar, sebagai bukti dan sokongan untuk pendakwaan di mahkamah antarabangsa kelak.

Mahkamah Jenayah Antarabangsa melaporkan bahawa ia mempunyai bidang kuasa bagi menyiasat pengusiran etnik Rohingya dari Myanmar ke Bangladesh.

Katanya, lebih dari 100 nama termasuk pegawai, yang disyaki terbabit dalam jenayah kemanusiaan dan jenayah perang di Myanmar.

Malah, penyiasat PBB juga mendesak syarikat asing untuk memutuskan hubungan perniagaan dengan Myanmar, selain menggesa masyarakat antarabangsa memberi bantuan pembangunan dan pelaburan di Rakhine. – Agensi