Kumpulan Misi Bantuan Kemanusian Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) tiba di sini, pada Selasa, kira-kira 877 km dari Kota Palu yang dilanda gempa bermagnitud 7.7 skala Richter dan tsunami pada Jumaat lepas.

Mapim yang juga pasukan bantuan Malaysia pertama tiba di wilayah itu berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dengan menaiki pesawat Lion Air pada jam 1 tengah hari (waktu Malaysia), Selasa menuju ke Lapangan Terbang Antarabangsa Sukarno-Hatta di Jakarta, sebelum menaiki penerbangan domestik ke Makassar.

Selepas perjalanan udara lebih lima jam, kumpulan itu tiba di Lapangan Terbang Internasional Sultan Hasanuddin pada jam 9.30 malam waktu tempatan sebelum dibawa menaiki kenderaan pacuan empat roda (4WD) yang dijangka mengambil masa 18 jam perjalanan darat untuk ke Kota Palu.
Setakat petang Selasa, berdasarkan data Badan Nasional Pengurusan Bencana (BNPB) Indonesia, jumlah mangsa yang disahkan terkorban ialah 1,234 orang.

Angka korban gempa bumi dan tsunami di Sulawesi Tengah dikhuatiri mencecah ribuan mangsa. Lebih 30,000 penduduk terkesan teruk akibat gempa dan tsunami Jumaat lepas dan dilaporkan mereka bermalam di jalanan serta berterusan trauma berikutan lebih 250 gempa susulan masih berlaku di Sulawesi Tengah.

– BERNAMA