UMNO dan PAS hari ini memeterai piagam kerjasama dua parti itu dikenali sebagai Piagam Muafakat Nasional.

Piagam itu ditandatangani oleh kedua-dua presiden parti, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi bagi UMNO dan Datuk Seri Abdul Hadi Awang (PAS) pada satu majlis bersempena Himpunan Penyatuan Ummah (HPU914) di Pusat Dagangan Dunia Putra, di sini.

Piagam itu, yang merupakan satu tatakelola kerja bagaimana kedua-dua parti harus bergerak dari sekarang hingga ke pilihan raya umum yang akan datang, kemudiannya diisytiharkan di hadapan ribuan ahli kedua-dua parti yang menghadiri perhimpunan itu.

Berikut adalah kandungan Piagam Muafakat Nasional yang dimeterai UMNO-PAS:

1.Menjunjung dan mempertahankan keluhuran Perlembagaan Persekutuan, yang menjamin pembentukan Negara, Islam sebagai Agama Persekutuan, Kedaulatan Raja-Raja Melayu, Kedudukan Istimewa Orang Melayu dan Bumiputera serta kepentingan sah kaum-kaum lain, Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan serta Menjamin Kepentingan Masyarakat Majmuk Terpelihara;

2. Memperkukuhkan Muafakat Nasional melalui amalan musyawarah yang melibatkan pelbagai latar agama, kaum dan budaya demi kepentingan negara.

3. Memperkasakan agenda Islam, Melayu dan Bumiputera secara tuntas dalam kerangka Perlembagaan Persekutuan demi membangunkan watan yang sejahtera.

4. Membentuk kerjasama dengan mengembangkan naratif (Islam dan bangsa Melayu) tanpa menafikan kepelbagaian agama, kaum dan budaya sebagai paksi kepada kestabilan politik, keharmonian kaum dan kesejahteraan negara.

5. Mengikhtiarkan secara kolektif satu citra dan tawaran baharu untuk negara dalam meningkatkan tadbir urus yang baik, dasar pembangunan yang inklusif dan sejahtera serta pengagihan yang menyuburkan keadilan sosial merentasi batas warna kulit dan anutan.- Bernama