Awal bulan ini, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad telah mempelawa semua parti politik Melayu untuk menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), dalam usaha mengukuhkan lagi kuasa politik Melayu.

Pada Isnin, 15 Julai 2019 pula, Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Mukhriz Mahathir berkata, Pakatan Harapan (PH) terbuka dengan idea bahawa Parti Islam Se-Malaysia (PAS) boleh bekerjasama dan menjadi sebahagian daripada parti komponen PH demi penyatuan umat Islam di Malaysia.

Walau bagaimanapun, Setiausaha Agung PAS, Datuk Takiyuddin Hassan dalam satu kenyataan hari ini menegaskan bahawa partinya tidak akan menyertai PH, dan sebaliknya akan terus kekal setia bersama Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO) dan Barisan Nasional (BN).

“PAS tidak akan bersama PH, sebaliknya bersama Gagasan Sejahtera dan akan terus berta’awun dengan UMNO dan BN menubuhkan kerajaan,” katanya.

Jelas beliau, perkara tersebut akan dilakukan sebelum Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) dan sememangnya akan diteruskan juga selepas itu.

Buat masa ini, Takiyuddin berkata bahawa PAS akan memberikan fokus penuh dalam menjayakan penyatuan ummah bersama UMNO dan tidak akan meninggalkan parti-parti komponen serta rakan-rakan dalam BN yang mewakili semua kaum, termasuk dari Sabah dan Sarawak.

“Pas yakin muafakat nasional yang diterajui oleh UMNO dan Pas serta disokong oleh parti-parti lain kini merupakan pilihan terbaik untuk rakyat ke arah negara Malaysia yang lebih sejahtera, aman dan makmur.

“Sokongan padu rakyat pelbagai kaum dan momentum politik yang menyebelahi parti-parti blok pembangkang pada masa ini membayangkan hasrat rakyat Malaysia yang inginkan suatu perubahan pada negara dalam waktu paling dekat,” ujar beliau.

Sementara itu, Mukhriz menekankan bahawa penyertaan PAS dalam PH adalah satu perkara yang baik jika parti Islam itu dapat mempertimbangkannya.

Difahamkan juga, Naib Presiden Amanah, Datuk Husam Musa turut mempelawa PAS untuk mempertimbang tawaran menyertai PH.

Tambahnya lagi, sudah tiba masanya bagi PAS dan barisan kepimpinannya untuk berfikir sekiranya tidak mahu lihat perjuangan mereka selama lebih daripada 60 tahun untuk menumpaskan kerajaan UMNO sebelum ini “menjadi sia-sia”.

Menurut Husam, sekiranya PAS memutuskan untuk menyertai PH, parti tersebut boleh menjadi kerajaan sekarang dan juga pada pilihan raya akan datang. – Agensi