Palestin akan membuat aduan kepada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) terhadap Honduras berikutan keputusan kontroversi negara republik Amerika Tengah itu untuk membuka pejabat diplomatik di Baitulmaqdis.

Langkah Honduras itu sekali gus menggambarkan sokongan pengiktirafan Amerika Syarikat (AS) terhadap Baitulmaqdis, kononnya sebagai ibu negara Israel.

Awal minggu ini, Presiden Honduras, Juan Orlando Hernandez berkata, dia akan melawat Israel dan menghadiri perasmian pejabat diplomatiknya.

Pejabat diplomatik di bandar dipertikaikan ini adalah cawangan kepada kedutaan Honduras di Tel Aviv.

“Bagi saya, ia adalah pengiktirafan Baitulmaqdis sebagai ibu negara Israel,” kata Hernandez, semalam.

Menurut kenyataan kementerian luar negara itu, Israel mencadangkan Honduras supaya memindahkan kedutaannya di Baitulmaqdis dan ia sedang mempertimbangkan saranan itu berdasarkan konteks nasional dan antarabangsa.

Sementara itu, Kementerian Luar Palestin dalam satu kenyataan semalam, mengesahkan akan mengemuka aduan rasmi terhadap Honduras kepada Setiausaha Agung PBB, Antonio Guterres.

Kementerian itu menyifatkan langkah Honduras itu sebagai pencerobohan terhadap rakyat Palestin dan terang-terangan melanggar undang-undang antarabangsa.

“Honduras telah menyamakan negara mereka dengan penyangak yang mengabaikan undang-undang antarabangsa dan dengan sengaja melemahkan kedudukannya.

“Kepimpinan Palestin juga akan mempertimbang semula hubungan dengan Honduras,” kata Anggota Jawatankuasa Pertubuhan Pembebasan Palestin, Hanan Ashrawi dalam kenyataan.

Pada masa sama, Hanan turut mengutuk keputusan negeri kecil di pulau Pasifik, Nauru yang baru-baru ini mengakui Baitulmaqdis sebagai ibu negara Israel.

“Nauru juga melanggar kewajibannya di bawah undang-undang antarabangsa dan Piagam PBB, di mana mereka harus bertanggungjawab atas pelanggaran ini,” katanya.

Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump memburukkan hubungan antara Washington dan pihak berkuasa Palestin, tahun lalu, dengan memindahkan kedutaannya ke Baitulmaqdis.

Guatemala dan Paraguay mengambil langkah sama, sementara Brazil mengkaji pemindahan itu. Namun, Paraguay menarik balik keputusan pemindahan hanya selepas empat bulan. – Agensi