Seramai 185 penduduk yang membabit 58 keluarga Orang Asli suku Batek di Kampung Kuala Koh bakal menerima kemudahan air bersih menerusi telaga tiub dalam masa terdekat.

Timbalan Ketua Pengarah Sektor Pelaksanaan Operasi, Agensi Pengurusan Bencana Negara (NAKMA), Zakaria Shaaban berkata, pembinaan telaga tiub itu kini di peringkat akhir termasuk ujian kualiti air sebelum boleh digunakan.

Katanya, masalah air bersih untuk kaum berkenaan di kampung itu yang sebelum terpaksa menggunakan keperluan air tadahan bukit dan air dari sungai berhampiran selesai apabila telaga terbabit siap dan boleh digunakan.

Beliau berkata, penyediaan air bersih melalui telaga tiub itu sememangnya dirancangkan kerajaan kerana mengambil perhatian serius terhadap masalah keperluan berkenaan air bersih bagi mengelakkan penggunaan dari sumber air lain yang tidak bersih.

“Kita tidak menghalang mereka menggunakan air dari tadahan bukit atau sungai tetapi perlu dimasak terlebih dahulu sebelum diminum,” katanya pada Program Gotong-Royong Perdana di Kampung Kuala Koh, di sini, semalam.

Hadir sama Penasihat Kepada Timbalan Perdana Menteri, Dr Mohamad Salmi Mohd Sohod, Pengarah Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) Kelantan/Terengganu, Hashim Alang Abdul Hamid dan Ketua Polis Daerah, Supt Mohd Taufik Maidin.

Sejak awal Mei lalu, 15 Orang Asli suku Batek, Kampung Kuala Koh meninggal dunia kerana wabak demam campak dan 112 orang lagi kaum itu yang turut dijangkiti menerima rawatan di Hospital Gua Musang (HGM) dan Hospital Kuala Krai (HKK).

Zakaria berkata, pihaknya juga berpuas hati dengan penyertaan 25 agensi kerajaan dan badan bukan kerajaan (NGO) pada gotong-royong perdana membersih kampung Orang Asli itu. — Bernama