Malaysia dan Vietnam bersetuju untuk memperkukuhkan kerjasama dan meneroka peluang ekonomi baharu untuk mengurangkan ketidakseimbangan dagangan antara kedua-dua negara sahabat yang berjiran itu.

Dalam sidang akhbar bersama, Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dan rakan sejawatannya dari Vietnam Nguyen Xuan Phuc berkata kedua-dua negara bersetuju untuk memperkukuhkan kerjasama strategik dalam pelbagai sektor termasuk pertahanan, keselamatan, marin dan perikanan, pendidikan, tenaga kerja dan pelancongan.

Kedua-dua perdana menteri juga bersetuju untuk menggalakkan pelaburan dalam infrastruktur, tenaga, pertanian berteknologi tinggi, akuakultur, pengangkutan dan logistik di samping memudahkan rangkaian perniagaan dalam mencari peluang baharu.

Perkara itu diumumkan oleh Dr Mahathir dan Nguyen Xuan Phuc selepas mesyuarat delegasi di sini hari ini.

Dr Mahathir berkata Malaysia dan Vietnam bersetuju untuk berganding bahu bersama ASEAN dan memanfaatkan blok ekonomi itu untuk memperkembangkan ekonomi dan menangani masalah di rantau ini serta di dunia khususnya. – Bernama