Rusia sedang meningkatkan keupayaannya untuk berperang di dalam air dalam satu cabaran langsung kepada tentera Amerika Syarikat (AS) di Lautan Atlantik dan Laut Mediterranean, dakwa seorang laksamana tertinggi AS kelmarin.

Laksamana James Foggo, yang mengetuai Pemerintah Pasukan Gabungan Bersekutu NATO di Naples, berkata Rusia banyak melabur dalam armada kapal selam dan mahu membina ancaman “asimetrik” kepada AS dan NATO.

Walaupun tentera laut Rusia tahu ia tidak dapat bersaing pada peringkat kapal pengangkut pesawat dan kapal permukaan yang lebih besar, “mereka terus menjalankan penyelidikan dan pembangunan serta menggunakan semula domain bawah laut,” kata Foggo kepada pemberita Pentagon.

“Mereka menganggapnya sebagai satu di mana cabaran wujud dan cabaran itu adalah Tentera Laut AS dan pasukan kapal selam AS.”

Foggo berkata Rusia kini mempunyai enam kapal selam serangan diesel-elektrik kelas Kilo di Laut Hitam dan Timur Laut Mediterranean.

Apabila ditanya sama ada tentera laut tahu di mana semua kapal selam Rusia berada pada setiap masa, Foggo, yang pernah memerintah sebuah kapal selam serangan, enggan menjelas lanjut.

“Saya dapat memberitahu anda bahawa kita memegang kelebihan akustik dan kita akan terus berbuat demikian,” katanya, yang merujuk kepada teknologi mendengar yang membolehkan kelasi untuk mengesan kapal selam.

Foggo menyuarakan kebimbangan bahawa Rusia dapat melepaskan peluru berpandu Kalibr yang “jika dilancarkan dari mana-mana laut sekitar Eropah, ia dapat sampai ke mana-mana sahaja ibu kota di Eropah”.

Dia juga bercakap mengenai latihan ketenteraan NATO yang akan diadakan di Norway dan merupakan latihan terbesar seumpamanya sejak Perang Dingin.

Eksesais itu melatih tentera untuk menangkis “musuh yang merentasi sempadan sekutu NATO”, kata Foggo.

“Terdapat mesej pencegahan yang kuat di sini.” – AFP