Mufti Besar Baitul Maqdis Sheikh Mohammad Ahmad Husein berkata kunjungan ke Masjid Al-Aqsa yang tidak putus-putus secara tidak langsung akan menunjukkan tanda sokongan terhadap perjuangan rakyat Palestin walaupun menghadapi tekanan tentera Israel.

Ketika membuat seruan itu beliau berkata pada masa ini penduduk Palestin semakin terancam dan tertindas dan mereka juga dilarang walaupun untuk menganjurkan majlis kecil seperti memperingati tokoh pendidikan baru-baru ini.

“Inilah mengapa umat Islam di seluruh dunia perlu datang menziarahi masjid itu kerana kehadiran mereka menyemarakkan semangat dan keazaman mempertahankan hak mereka,” katanya bersempena lawatan Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail ke masjid itu di sini, semalam.

Keberangkatan tiba baginda disambut Pengerusi Jawatankuasa Tinggi Hal Ehwal Islam Al-Quds, Dr Ekremah Said Sabry.

Tuanku Syed Faizuddin juga sempat menunaikan solat Jumaat di masjid itu sebelum menyampaikan 30 kerusi roda bagi kegunaan jemaah di situ.

Dr Ekremah yang juga penjaga Masjid Al-Aqsa berkata Perjanjian Oslo pada 1993 yang berat sebelah menyebabkan nasib rakyat Palestin semakin tertindas.

“Perjanjian itu seolah-olah Amerika memberi hak kepada Israel melakukan apa sahaja terhadap rakyat Palestin,” katanya.

– Media Adil