Korea Selatan enggan menerima lawatan rasmi Presiden Israel, Reuven Rivlin ke negara itu di bawah langkah yang bakal mencetuskan sengketa diplomatik antara Tel Aviv dan Seoul.

Laman berita Israel, Ynetnews pada Khamis melaporkan kunjungan itu dijadualkan sama ada pada tahun ini atau 2019.

“Tindakan Korea Selatan sememangnya mengejutkan,” jelas laman web tersebut.

Difahamkan, tiada penjelasan diberikan berhubung langkah terbabit, namun Ynetnews memaparkan tiga punca keputusan itu dibuat.

Salah satu sebab, Seoul didakwa kecewa dengan penolakan berterusan Tel Aviv terhadap perjanjian keselamatan penting yang mana Israel gagal memberi kontrak kepada syarikat Hyundai untuk membina kapal direka menjaga platform penggerudian gas asli di luar pesisir negara itu sebaliknya ia diberikan kepada firma Jerman, ThyssenKrupp.

Punca lain, Korea Selatan dipercayai kesal atas keengganan Israel untuk mengucapkan tahniah kepada Presiden Moon Jae-in dan pemimpin Pyongyang, Kim Jong-un yang akhirnya bertemu dalam sidang kemuncak pada April lalu.

Selain itu, Seoul adalah salah satu daripada 128 negara yang mengundi membantah keputusan kontroversi Amerika Syarikat mengiktiraf Baitulmaqdis sebagai ‘ibu negara’ Israel.

PressTV