Angka korban akibat rusuhan di Baghdad terus meningkat, apabila sekurang-kurangnya 15 orang terbunuh dalam pertempuran di Sadr City membabitkan pasukan keselamatan dan penunjuk perasaan semalam.

Jumlah kematian selepas enam hari rusuhan kini mencecah 106 orang manakala lebih 6,000 penduduk cedera, lapor pegawai perubatan.

Seorang lelaki bersenjata yang tidak dikenali dilaporkan menyerang pejabat media tempatan dan asing, termasuk NRT, Dijlah dan Televisyen al-Arabiya dan Televisyen al-Hadath yang berpangkalan di Arab Saudi.

Sementara itu, penunjuk perasaan turut membakar lapan pejabat parti politik termasuk parti Dawa yang mendominasi kerajaan Iraq.

Protes ini adalah yang pertama diadakan secara besar-besaran setahun selepas Kerajaan Iraq dibentuk oleh Perdana Menteri, Adel Abdel Mahdi.

Serentak itu, Adel Abdul Mahdi mengemukakan 17 rancangan penting ketika mesyuarat tergempar Kabinet, semalam, antaranya akan meningkatkan rumah bersubsidi untuk golongan miskin.

Selain itu, kerajaan akan memberi gaji kepada penganggur serta memberi program latihan dan inisiatif pinjaman kecil untuk golongan muda yang menganggur.