Kementerian Pendidikan sedang memantau seluruh sekolah di Sarawak khususnya murid yang menduduki Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) berikutan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) sangat tidak sihat pagi ini.

Menterinya, Dr Maszlee Malik berkata Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak akan mengambil langkah sewajarnya dalam memastikan keselamatan murid dan mengikut Prosedur Operasi Standard (SOP) sedia ada.

“Bagi Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak, mereka akan ikuti SOP sedia ada. Kita (Kementerian Pendidikan) menunggu mereka yang ada di lapangan untuk memberikan perkembangan terkini,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan program ‘Merdeka Special Charity Run 2019’ di Pasir Gudang dekat sini hari ini.

Larian sejauh tiga kilometer bagi mengumpul dana pembinaan Dewan Terbuka Pendidikan Khas Sekolah Kebangsaan Kota Masai 2 itu disertai 2,000 orang dan turut mencatatkan rekod penyertaan warga Orang Kurang Upaya (OKU) paling ramai dalam program ‘fun run’ di negara ini dengan seramai 1,200 orang.

Sehingga 12 tengah hari ini, bacaan IPU di Sri Aman sedikit meningkat berbanding 8.00 pagi, manakala Kuching dan Samarahan sedikit menurun, namun masih pada tahap sangat tidak baik

Ketua sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana (JPBN) Sarawak, Mejar Ismail Mahedin dari Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Sarawak dilaporkan berkata, Sri Aman mencatatkan bacaan IPU 236 berbanding 229, Kuching (225 berbanding 232) dan Samarahan (202 berbanding 213).

Enam lagi kawasan yang berada pada tahap IPU tidak sihat menunjukkan peningkatan bacaan dengan Sarikei (174 berbanding 164), ILP Miri (142 berbanding 137), Sibu (181 berbanding 161) dan Miri (155 berbanding 149), S K Baram (115 berbanding 107) dan Mukah (109 berbanding 101).

Sementara itu, mengulas kenyataan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berhubung kaedah pengajaran secara rakaman video oleh guru terpilih yang akan diperkenalkan di sekolah negara ini tidak lama lagi, Maszlee berkata ia menjadi hala tuju Kementerian Pendidikan dalam meningkatkan konsep e-learning.

Beliau berkata, kaedah berkenaan dibentangkan kepada Dr Mahathir beberapa bulan lepas malah ia sekali gus dapat memastikan guru berbakat dan terbaik bukan setakat mengajar di kelas mereka sahaja bahkan di seluruh negara.

“Kita ada beberapa platform yang sedang dibangunkan dan ini juga aspirasi Tun (Dr Mahathir) yang kita akan laksanakan. Kita sedang cuba untuk memulakan kaedah ini pada tahun 2020. Kita akan umum bila sampai masanya dan mungkin Tun akan rasmikan,” katanya.

Dr Mahathir semasa lawatan ke Sekolah Rendah Ritsumeikan, Kyoto, Jepun, semalam, dilaporkan berkata kaedah itu akan dikongsikan dengan sekolah lain untuk memberi manfaat kepada pelajar dan guru di sekolah masing-masing.

“Kita cuba memudahkan pengajaran kerana tidak semua guru sama. Apa yang kita hendak lakukan ialah memanfaatkan guru yang baik, rekodkan cara pengajaran mereka dan berkongsi pengajaran itu dengan guru sekolah lain. Guru berkenaan kemudian akan membimbing dan menjelaskan kepada pelajar mereka,” kata Dr Mahathir. – Bernama