Menteri di Jabatan Perdana Menteri Dr Mujahid Yusof berkata Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) menyokong inisiatif Jabatan Agama Islam Johor (JAINJ) menggunakan Jawi dalam urusan surat menyurat kerana ia dilihat dapat memartabatkan tulisan itu.

Pelaksanaan inisiatif itu akan bermula 1 Januari tahun depan yang melibatkan JAINJ dan Majlis Agama Islam Johor (MAINJ) serta urusan diperingkat pejabat kadi, sekolah-sekolah agama dan digunakan dalam teks-teks ucapan.

Mujahid berkata di Jakim, bagi setiap program kira-kira 25% daripada poster atau bahan-bahan berkaitan program menggunakan Jawi.

“Esok kita akan lancar satu program iaitu minggu Jawi dan setiap hari Jumaat, kita akan minta semua staf pakai tanda nama bertulisan Jawi,” katanya kepada media selepas merasmikan forum Pemikiran Islam (I-FiT): Menggalakkan Maqasid Syariah Ke Arah Tadbir Urus yang Ehsan hari ini.

Mengenai forum hari ini, Mujahid berkata program itu akan dijadikan acara tahunan bagi membincangkan prinsip maqasid syariah khususnya dalam kerangka Malaysia.

“Kita akan menggunakan platform ini untuk menyentuh isu-isu Islam semasa yang mana kita ambil juga pandangan-pandangan dari luar negara lalu kita jadikan ia sebagai prosiding yang kita ambil untuk kita baiki dasar-dasar yang kita sedang rangka,” katanya. – FMT