Perdana Menteri Pakistan, Imran Khan bersiap siaga meneruskan strategi kerajaannya untuk menangani keadaan di Kashmir yang semakin buruk.

Beliau memberi amaran kemungkinan berlaku perang nuklear, selepas berlaku krisis kemanusiaan yang teruk di Kashmir berikutan India membatalkan autonomi khas di wilayah itu.

Katanya, beliau tidak mengendahkan persepsi masyarakat antarabangsa dan menegaskan akan terus mempertahan serta tidak akan meninggalkan rakyat Kashmir.

Sementara itu, rakyat Kashmir telah membuat bantahan setiap hari bagi menentang pemerintahan rejim India.

Jammu dan Kashmir adalah wilayah Himalaya yang dikuasai India, di mana sebelum ini ditadbir secara autonomi menerusi artikel 370 Perlembagaan India.

Artikel 370 membenarkan Jammu dan Kashmir bebas mentadbir sendiri dalam semua hal, kecuali hal ehwal luar, pertahanan dan komunikasi.

Kerajaan India dianggap ‘curang’ apabila memansuhkan peruntukan Perlembagaan berkenaan kepada Jammu dan Kashmir, sehingga tercetus pertempuran yang mengakibatkan nyawa terkorban. – Agensi