Rakyat negara ini harus memperbaharui kefahaman tentang maksud Malaysia selain mengelak daripada menggunakan perkataan atau ayat yang boleh mengecilkan hati sesama mereka.

Menteri Luar Negeri Datuk Saifuddin Abdullah berkata, meskipun Hari Malaysia sudah disambut lebih 50 tahun, namun rakyat perlu memperbaharui kefahaman mereka tentang kepentingan hari itu.

“Salah satunya adalah kita harus benar-benar berasakan semua kita adalah rakyat Malaysia dengan menghentikan cara atau ungkapan yang boleh mengecilkan hati sesama rakyat.

“Misalnya menggunakan ayat seperti Malaysia ini adalah sebuah negara terdiri daripada negeri-negeri Perlis sampai ke Johor termasuk Sabah dan Sarawak,” katanya ketika ditanya media sempena sambutan Hari Malaysia pada 16 September ini.

Saifuddin berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri sesi dialog bersama pelajar Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) mengenai Kerangka Dasar Luar Negara Malaysia Baharu di sini, semalam.

Beliau memahami bahawa bagi rakyat Sabah dan Sarawak, ungkapan itu bukanlah naratif yang diminati.

Naratif yang lebih tepat, jelasnya adalah Malaysia dibentuk oleh Semenanjung, Sabah dan Sarawak di mana dahulunya termasuk Singapura tapi negara itu tidak lagi berada dalam Malaysia.

“Istilah-istilah seperti Sabah dan Sarawak masuk Malaysia ini semuanya perkataan yang seharusnya tidak digunakan lagi tetapi masih ada juga yang menggunakannya.

“Jadi saya beranggapan sempena menyambut Hari Malaysia ini kita harus benar-benar dan mesti memperbaharui kefahaman kita tentang maksud Malaysia dan mengelakkan diri daripada menggunakan perkataan atau ayat yang boleh mengecilkan hati sebahagian daripada rakyat kita,” ujarnya.

Selain itu, beliau turut menasihati rakyat supaya tidak hanya berfikir tentang satu kaum atau agama tetapi harus menyantuni kehadiran semua kaum, agama dan budaya maising-masing.

Dalam hal ini katanya, Sarawak dan Sabah merupakan teladan yang sangat baik dari segi kemampuan untuk hidup bersama dengan aman dan harmoni.

“Kita lihat isu perkauman dan isu agama jarang timbul di Sabah dan Sarawak dan kerukunan hidup mereka yang aman dan harmoni, saya anggap teladan yang baik yang harus diikuti oleh semua rakyat Malaysia,” katanya. – UB