Laman al-Ahad yang berpusat di Yaman serta surat khabar Perancis dan Amerika Syarikat (AS), melaporkan bahawa Dewan Ulama Arab Saudi mendesak Muhammad bin Salman supaya turun dari kedudukannya sebagai Putera Mahkota Arab saudi kerana dinilai fasik, menebarkan kerosakan dan bertanggungjawab membunuh wartawan Jamal Khashoggi.

Disebutkan bahawa terdapat bocoran kepada media mengenai adanya aksi bungkam pihak-pihak dalaman kerajaan terhadap Muhammad bin Salman menyusul dugaan kuat penglibatannya dalam kes Khashoggi yang hilang selepas memasuki konsulat Arab Saudi di Istanbul pada 2 Oktober lalu.

Al-Ahad pada Khamis (18 Okt), menyebutkan bahawa Dewan Ulama Saudi telah membuat kenyataan yang meminta supaya bin Salman berundur kerana maraknya kezaliman, penindasan, dan dasar politik salah yang berpunca darinya.

Mereka menekankan bahawa tindakan seperti penangkapan ulama, pendakwa, dan penulis, pembasmian simbol ketaatan kepada agama dalam masyarakat, penyebaran kerosakan dan harta awam adalah suatu perbuatan yang tidak boleh dijangka membawa manfaat.

Kenyataan dari kalangan yang mereka sebut sebagai “ahlul hilli wal aqd” itu menegaskan bahawa selepas Muhammad bin Salman terbukti fasik dan tidak berkompeten, maka hendaknya dipilih semula orang yang berkelayakan memegang jawatan putera mahkota, dan para tahanan politikpun perlu dibebaskan segera.

Le Figaro melaporkan bahawa Majlis Baiat Saudi telah mengadakan mesyuarat rahsia untuk memilih wakil putera mahkota.

Surat khabar Perancis ini mengutip keterangan sumber di Riyadh bahawa Duta Besar Arab Saudi untuk Amerika Syarikat Khalid bin Salman bin Abdulaziz Al Saud, adik bin Salman ​​lain ibu, telah dipilih untuk kedudukan itu. Ini bermakna bahawa bin Salman akan berundur.

Semakin kuatnya tekanan antarabangsa berkaitan dengan kes Khashoggi telah membuat Dewan Baiat Saudi sangat peduli kepada kesan persoalan yang membelit bin Salman ini.

Dikatakan bahawa Khalid bin Salman telah kembali ke Riyadh berikutan kehilangan Khashoggi.

Akhbar New York Times memetik sumber rasmi AS berkata Khalid tidak akan kembali ke Washington sebagai duta Saudi.

– Media Adil