Wanita maut gantung diri di dapur

KOTA KINABALU: Seorang wanita maut selepas ditemui tergantung di dapur rumahnya dalam kejadian di sebuah taman perumahan di Kolombong, Inanam, kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 10.30 malam itu, mangsa berusia 38 tahun dikejarkan ke Hospital Queen Elizabeth (QEH).

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner M Chandra, berkata seorang pegawai perubatan memaklumkan menerima pesakit (mangsa) pada jam 10.46 malam di QEH.

“Mangsa dibawa oleh seorang dipercayai teman lelakinya. Hasil pemeriksaan mendapati mangsa sudah tidak bernyawa.

“Pemeriksaan lanjut mendapati ada kesan jerutan di bahagian leher mangsa dipercayai kesan daripada menggantung diri,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Sehubungan itu, Chandra berkata, laporan polis dibuat untuk siasatan dan tindakan lanjut.

“Hasil siasatan awal mendapati tiada berlaku perbuatan jenayah dalam kes itu. Namun, siasatan masih dijalankan bagi mengenal pasti sebab mangsa membunuh diri.

“Bedah siasat akan dilakukan untuk mengetahui punca kematian,” katanya.

Chandra berkata, kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut kerana gantung diri.

sumber – BHOnline