Agensi Bantuan dan Kerja Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNRWA) membentangkan peruntukan yang diperlukan bagi membiayai kempen bantuan kemanusiaan membabitkan 5.4 juta pelarian Palestin di Asia Barat.

Pesuruhjaya Tingginya, Pierre Krähenbüh berkata, pihaknya memerlukan dana sekurang-kurangnya AS$1.2 bilion untuk memastikan operasi UNRWA pada tahap sama seperti pada tahun 2018.

Katanya, AS$ 750 juta diperlukan untuk meneruskan perkhidmatan teras agensi, yang meliputi pendidikan, kesihatan, dan perkhidmatan sosial bagi mencapai Matlamat Pembangunan Mampan (SDGs) dan Agenda 2030.

Selain itu, AS$ 138 juta pula diperlukan untuk menyediakan bantuan kemanusiaan kecemasan di Gaza dan Tebing Barat, termasuk Timur Baitulmaqdis.

“Selain itu, AS$ 277 juta diperlukan untuk menyokong Rayuan Kecemasan Krisis Syria, membabitkan pelarian di Syria, Lubnan dan Jordan,” katanya.

Pembentangan bajet dan keperluan kewangan 2019 dibuat sejurus selepas UNRWA berhadapan ketirisan kewangan yang teruk tahun lalu, susulan keputusan penderma terbesar agensi itu yang mengurangkan sumbangan sebanyak AS$ 300 juta.

“Kami menghadapi cabaran kewangan paling teruk dalam sejarah, justeru kami berbesar hati sekiranya ada pihak yang mahu memberikan sumbangan dan turut serta dalam bantuan kemanusiaan.

“Tidak dinafikan ramai yang cuba menyalurkan dana termasuk anggota Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), NGO dan orang perseorangan. Kami ingin mengucapkan terima kasih di atas komitmen masyarakat antarabangsa,” katanya.

UNRWA melaporkan, 2019 adalah tahun mencabar bagi pelarian di Asia Barat, termasuk pelarian di Jordan, Lubnan dan Syria, di mana mereka dijangka berhadapan pelbagai cabaran pembangunan dan perlindungan kemanusiaan.

Faktor utamanya adalah krisis yang menimpa warga Palestin, termasuk penjarahan Zionis serta sekatan ke atas Gaza yang sekali gus mempengaruhi kehidupan pelarian.

Ini mengakibatkan kesan berantai, termasuk peningkatan keganasan, kekurangan peluang pekerjaan, peningkatan kadar kebuluran serta trauma melampau.

Sementara itu, di Syria, konflik berterusan di negara itu memberi banyak kesan ketakutan terhadap pelarian, apabila mereka kehilangan mata pencarian akibat perang berterusan selama 8 tahun sejak 2011. – Agensi