Umat Islam wajib bersatu dan memilih pemimpin Islam yang mampu mempertahankan agama dan negara dalam keadaan umat Islam yang semakin tercabar pada masa ini.

Pre­siden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, sehubungan itu umat Islam tidak mengira parti sama ada Pas atau UMNO perlu berhenti bertelingkah dan memulakan lembaran kerjasama baharu.

“Besar harapan kami bukan sahaja Pas tetapi UMNO dan juga pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Islam melupakan pertelingkahan dan perbalahan, ajak rakyat bukan sahaja Islam beri kepercayaan kepada wakil agama Islam.

“Ingatlah Islam mengajar aspek kerohanian, dosa dan pahala tetapi masalah dosa dan pahala tidak ada dalam DAP, dalam parti bukan Islam,”katanya ketika berucap pada program ceramah Perdana di Dataran Sungai Koyan di sini hari ini.

Yang hadir sama Timbalan Presiden UMNO yang memangku tugas Presisen, Datuk Seri Mohamad Hasan; Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail dan Pesuruhjaya Pas Pahang, Rosli Abdul Jabar. – Utusan Online