Ulama, umara bantu perkasa kepemimpinan

Tepat sekali titah ucapan Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah ketika merasmikan Muzakarah Sultan Muizzuddin Shah 2018 awal minggu ini bahawa umara dan ulama mesti bekerjasama untuk kepentingan rakyat dan ummah secara umumnya.

Istilah kerjasama di antara umara dan ulama tidak timbul ketika pemerintahan Rasulullah SAW dan Khulafa’ Al-Rasyidin kerana pada masa itu pemerintah adalah alim ulama.

Ketika itu, pemerintah juga sepenuhnya memimpin negara dan ummah mengikut sistem serta world-view dunia Islam yang holistik.

Rasulullah SAW adalah pembawa syariah Islam dan melaksanakan hukum-hakamnya dan pada masa sama, baginda juga yang mengatur dan melaksanakan pemerintahan serta urusan duniawi dan ukhrawi.

Hal ini diwarisi sahabat baginda pada zaman Khulafa’ Al-Rasyidin, berpandukan ajaran al-Quran dan sunnah Rasulullah SAW.

Sesudah zaman Khulafa’ Al-Rashyidin, iaitu sesudah pemerintahan berpindah ke tangan daulah Amawiyah, Abbasiyyah dan lain-lain, juga ketika jawatan ketua pemerintahan negara menjadi warisan daripada ayah kepada anak atau saudara, maka pemimpin tidak semestinya terdiri daripada ulama dalam bidang agama atau yang menguasai sistem pemerintahan Islam.

Pada ketika inilah, pemerintah memerlukan ulama untuk membantunya.

Dalam situasi inilah timbul istilah pemimpin ‘formal’, iaitu pemerintah yang terdiri daripada kalangan ketua negara secara keturunan, lantikan atau pilihan rakyat.

Dalam situasi ini juga, lahirnya pemimpin ‘tidak formal’, iaitu dalam konteks ini, ulama dan ilmuan agama yang tidak secara rasminya, termasuk dalam pemerintahan negara.

Golongan inilah yang terkenal dengan nama mufti, imam, kiai dan sebagainya.

Kedua-dua golongan ini, iaitu umara dan ulama mempunyai peranan yang seharusnya dimainkan dengan baik.

Kesejahteraan rakyat, negara

Peranan kedua-duanya harus digabungkan dalam semua mekanisme pemerintahan untuk kesejahteraan rakyat dan negara secara umumnya.

Ada dua kelompok manusia, jika kedua-duanya baik, maka manusia (masyarakat) seluruhnya akan menjadi baik dan jika kedua-duanya rosak, manusia (masyarakat) seluruhnya juga akan menjadi rosak. Mereka itu ialah umara dan ulama (hadis riwayat Ibn Abdul Barr).

Kepemimpinan dari perspektif Islam adalah amanah Allah SWT, juga kontrak sosial dan psikologi di antara pemimpin dan pengikut.

Pemimpin berkewajipan memandu pengikutnya, melindungi dan menguruskan urusan mereka dengan adil dan saksama menurut lunas diredai Allah SWT.

Ciri kepemimpinan Islam

Antara ciri kepemimpinan terbabit ialah;

Pemimpin harus mendidik dirinya terlebih dahulu sebelum mendidik pengikutnya, mempraktikkan segala sesuatu yang didakwahkan kepada pengikutnya, meningkatkan moral dan akhlaknya terlebih dahulu sebelum memperbetulkan orang lain.

“Rakyat menjadi rosak akibat rosaknya pemerintah dan pemerintah menjadi rosak akibat kehadiran ulama yang buruk (al-suu’)” – Imam Al-Ghazali, Ihya’ Ulumuddin.

Sumber memetik satu hadis mengenai komponen kekuatan sebuah negara yang bermaksud: “Kekuatan negara adalah atas empat perkara. Pertama dengan ilmu ulama, kedua dengan keadilan umara, ketiga dengan kemurahan hartawan dan keempat dengan doa fakir miskin”.

Pemimpin adalah individu atau sekelompok ketua yang memimpin keseluruhan rakyat dari keadaan yang lemah atau rosak kepada keadaan yang kuat dan maju. Dalam konteks Islam, memimpin manusia daripada kehancuran dan maksiat kepada keredaan Allah dan kesejahteraan mereka mengikut lunas dan nilai universal Islam.

Islam menggariskan banyak prinsip bagi kepemimpinan Islam. Antaranya ialah pemimpin harus mempunyai sifat berikut;

Kuat dalam akidah

“Wahai orang yang beriman, janganlah kamu angkat menjadi pemimpinmu orang yang membuat agamamu menjadi buah ejekan dan permainan, iaitu di antara orang yang telah diberikan kitab sebelummu dan orang yang kafir”. (Al-Maidah, ayat 57).

Adil dan jujur.

“Wahai orang yang beriman, hendaklah kamu jadi orang yang selalu menegakkan kebenaran kerana Allah, menjadi saksi dengan adil dan janganlah kebencianmu kepada satu golongan menyebabkan kamu tidak berlaku adil”. (Al-Maidah, ayat 8).

Berpandangan luas dan tidak fanatik golongan.

Mengutamakan kepentingan rakyat daripada kepentingan golongan.

Mampu mewujudkan kesatuan dan kerjasama rakyat.

“Dan bertolong-tolonglah kamu dalam mengerjakan kebaikan dan ketakwaan dan janganlah tolong- menolong dalam berbuat dosa dan permusuhan”. (Al-Maidah, ayat 2).

Bersikap terbuka dalam menerima idea, saranan dan kritikan.

“Orang yang mahu mendengar pendapat (dari mana pun datangnya), kemudian mahu mengikut mana-mana yang lebih baik daripada pendapat itu, mereka itulah yang telah diberi Allah petunjuk dan mereka itulah orang yang mempunyai akal”. (Al-Zumar, ayat 18).

Pemaaf dan memiliki sikap toleransi yang besar.

“Dan jika membalas kejahatan (mereka), maka hendaklah kamu membalas dengan kejahatan yang sama seperti yang telah ditimpakan kepada kamu dan jika kamu bersabar, (maka) sesungguhnya yang demikian itu adalah lebih baik bagi orang yang sabar”. (Al-Nahl, ayat 126).

Berpengetahuan dan memiliki kemampuan dalam bidang yang dipimpinnya.

“Apabila sesuatu urusan itu diserahkan kepada orang yang bukan ahlinya, maka tunggulah saat kehancurannya”. (Hadis Riwayat Al-Bukhari).

Bertanggungjawab, amanah, telus dan tidak mementingkan diri sendiri.

Banyak lagi ayat al-Quran, hadis Rasulullah SAW dan teladan daripada sejarah peradaban Islam yang dapat dikaji dan dianalisis untuk menyokong ciri kepemimpinan seperti di atas.

Pada umumnya, kepemimpinan sebuah negara akan mengalami kegagalan sekiranya ciri di atas tidak dapat dipenuhinya.

Untuk berjaya dalam kepemimpinan berkenaan, maka setiap jentera pemerintah hendaklah bergabung dalam memenuhi objektif pemerintahan seperti yang disebutkan.

Di sinilah letaknya kepentingan kerjasama di antara ulama dan umara kerana keseluruhan sistem pemerintahan yang disebutkan itu adalah sistem pemerintahan Islam, iaitu Islam dalam pengertian yang luas sebagai satu sistem hidup yang lengkap.

Kefahaman yang jitu mengenai falsafah dan mekanisme yang terkandung dalam titah ucapan Sultan Perak adalah kekuatan perhubungan di antara umat dan kekuasaan Raja-Raja Melayu di negara kita.

%d bloggers like this: