Turki tidak gentar sekatan AS

ISTANBUL: Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan berkata, Turki tidak akan berganjak dari keputusannya selepas Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump mengancam untuk mengenakan sekatan ke atas Ankara sekiranya ia tidak membebaskan seorang paderi AS, lapor penyiar Haberturk semalam.

AS sebaliknya akan kehilangan rakan kerjasama yang kuat dan ikhlas sekiranya ia tidak mengubah sikap ini, kata Erdogan yang dipetik sebagai berkata oleh TRT Haber dan media lain.

Difahamkan, Andrew Brunson, yang dikenakan tahanan rumah minggu ini selepas ditahan selama 21 bulan di penjara Turki, bertugas di negara itu lebih dua dekad.

Brunson dituduh menyokong kumpulan yang didakwa Ankara menjadi dalang di sebalik rampasan kuasa tentera yang gagal pada 2016 dan Parti Pekerja Kurdistan (PKK).

Jika sabit kesalahan paderi yang mengaku tidak bersalah itu, berdepan hukuman penjara sehingga 35 tahun.

– Harian Metro