Pihak berkuasa Turki yang menyiasat kehilangan wartawan Arab Saudi, Jamal Khashoggi akan melakukan pemeriksaan di konsulat Riyadh di Istanbul.

Ketika ini, tekanan diplomatik semakin meningkat selepas banyak pihak meminta penjelasan lengkap tentang kehilangan Khashoggi.

Terdahulu, pemerintah Saudi, Raja Salman telah mengarahkan siasatan dijalankan ke atas kes tersebut.

“Pendakwa raya awam diarahkan untuk membuka siasatan dalaman berdasarkan maklumat yang diperoleh daripada pasukan bersama di Istanbul,” lapor agensi berita Reuters memetik kenyataan pegawai kerajaan.

Jelasnya lagi, pendakwa raya telah diarahkan untuk bertindak dengan cepat.

Minggu lalu, Turki menerima cadangan Saudi untuk menubuhkan kumpulan kerja bersama bagi menyiasat kehilangan wartawan terkenal itu.

Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump menerusi Twitter memaklumkan beliau ada menghubungi Raja Salman untuk bertanyakan tentang perkara itu dan Setiausaha Negara, Mike Pompeo akan ke Riyadh untuk bertemu baginda. – BBC