Menuntut pembelaan, Hatice Cengiz menggesa Kesatuan Eropah (EU) memberi tekanan kepada Arab Saudi, berikutan kes pembunuhan tunangnya, Jamal Khashoggi yang masih tergantung dan pembunuh bebas di luar sana.

Hatice Cengiz menuntut bela kematian tunangnya, Jamal Khashoggi sekaligus menggesa Kesatuan Eropah (EU) memberi tekanan kepada Arab Saudi, berikutan tiada tindakan diambil terhadap pembunuh wartawan terkenal.

“Sehingga kini, tiada ada apa yang dikenakan kepada mereka yang terbabit dalam jenayah ini.

“Bukankah masanya sudah tiba? Saya bertanyakan soalan ini sebagai manusia biasa,” kata Hatice di Parlimen Eropah, di Brussels semalam.

Cengiz berucap sebagai salah satu mangsa pelanggaran hak asasi manusia di Majlis Kerjasama Teluk (GCC), yang mana beliau dijemput oleh Jawatankuasa Kecil Parlimen Eropah bagi memberi keterangan.

“Saya berada di sini bukan hanya sebagai tunang Khashoggi, tetapi untuk menuntut pembelaan atas kematiannya, Khashoggi diperlukan bukan sahaja saya tapi untuk rakyat,” katanya.

Khashoggi – pengkritik Putera Mahkota Arab Saudi, Mohammed bin Salman – dibunuh di konsulat Arab Saudi di Istanbul pada 2 Oktober lalu, sehingga mencetuskan kekecohan antarabangsa.

Selepas membuat banyak kenyataan bertentangan mengenai nasib Khashoggi, Riyadh mengaku bahawa wartawan itu telah dibunuh.

Riyadh kemudian mengesahkan Khashoggi terbunuh dalam pergaduhan dengan individu yang menemuinya di dalam pejabat konsulat itu dan berkata, 18 suspek kes berkenaan ditangkap, manakala seorang pegawai tertinggi perisikan berpangkat jeneral dipecat.

Beberapa anggota pasukan pembunuh itu adalah mereka yang rapat dengan Putera Mahkota Arab Saudi, Putera Mohammed bin Salman.

Pembunuhan Khashoggi menyebabkan hubungan tegang antara Turki dan Arab Saudi, walaupun Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan mempunyai hubungan baik dengan Raja Saudi, Raja Salman Abdulaziz.

Erdogan berkata, pembunuhan Khashoggi diarahkan oleh pihak tertinggi kepimpinan Arab Saudi dan telah berulang kali menyeru pegawai Saudi untuk mengenal pasti dalang yang terbabit dalam pembunuhan itu. – Agensi