Tujuh disyaki terbabit insiden bom gereja ditahan

Kementerian Dalam Negeri Mesir mengesahkan pasukan keselamatannya, menahan tujuh individu dipercayai anggota militan yang disyaki terbabit dalam pengeboman sebuah gereja di sini, Sabtu lalu.

Menurut saksi dan media tempatan, anggota militan terbabit yang memakai baju yang dipasang bahan letupan meletupkan diri kira-kira 250 meter dari sebuah gereja di Qalyubiyah, di utara Kaherah.

Namun, tiada mangsa dilaporkan maut atau cedera.

Serangan itu adalah yang terbaru membabitkan kumpulan minoriti penganut Kristian di Mesir, iaitu kira-kira 10 peratus dari keseluruhan 96 juta penduduk negara itu.

Agensi berita MENA melaporkan, serangan bom itu berjaya dipatahkan anggota keselamatan yang mengawal sekitar gereja itu, bertujuan menghalang penyerang daripada menghampiri bangunan berkenaan.

Sementara itu, Kementerian Dalam Negeri dalam satu kenyataan berkata, penyerang dikenali sebagai Omar Mohamed Ahmed Mostafa, 29, dari Kaherah, tetapi hasil siasatan mendapati beliau tidak mempunyai kaitan dengan mana-mana kumpulan militan.

Malah, setakat ini, tiada kumpulan mengaku bertanggungjawab terhadap serangan berkenaan.

BH