Presiden Donald Trump, semalam mengesahkan Amerika Syarikat (AS) merancang untuk keluar daripada perjanjian senjata nuklear bersama Rusia kerana Moscow didakwa melakukan pelanggaran.

Perjanjian Senjata Nuklear Jarak Pertengahan (INF) berusia tiga dekad itu ditandatangani bekas presiden Ronald Reagan pada 1987.

“Kami mematuhi dan menghormati perjanjian itu. Tetapi, pihak Rusia telah melanggar perjanjian itu selama bertahun sedangkan kami tidak dibenarkan berbuat demikian. Saya tidak tahu kenapa Barack Obama tidak berunding atau keluar dari perjanjian itu. Jadi, kami akan menarik diri,” kata Trump ketika dalam sidang media di Elko, Nevada.

Washington menegaskan Moscow telah melanggar perjanjian itu dan membangunkan peluru berpandu jarak sederhana baharu, Novator 9M729 yang digelar Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (Nato) sebagai SSC-8.

Ia membolehkan Rusia melancarkan serangan nuklear menyasarkan negara Nato pada jarak dekat.

Beberapa penganalisis mendakwa Kremlin melihat senjata seumpama itu adalah jauh lebih murah berbanding mengerah pasukan tentera.

Jumaat lalu, The New York Times melaporkan AS mempertimbangkan untuk keluar dari perjanjian itu sebagai membantah kehadiran tentera China di Pasifik Barat yang mana negara itu bukan penandatangan perjanjian itu yang membolehkan ia membangunkan misil jarak sederhana tanpa sebarang penangguhan.

Hubungan Washington-Moscow semakin keruh selepas Kremlin didakwa masuk campur dalam Pilihan Raya Presiden 2016 selain sokongan ke atas kerajaan Syria dan konflik di Ukraine. – Agensi