Pemimpin agung Iran, Ayatollah Ali Khamenei, semalam berkata Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump ‘memalukan’ prestij negaranya dan menjadi pihak yang tewas susulan tindakan membaharui sekatan ke atas republik Islam itu.

“Presiden AS memalukan saki baki prestij negara itu dan demokrasi liberal.

“Kekuatan AS iaitu ekonomi dan ketenteraan, juga menurun,” katanya dalam akaun Twitter berbahasa Parsi, memetik kenyataan di Teheran.

Khamenei menolak sekatan baru AS, termasuk minyak, yang berkuat kuasa Isnin ini.

“Cabaran antara AS dan Iran berlanjutan selama 40 tahun setakat ini dan AS telah melakukan pelbagai usaha menentang kita: tentera, ekonomi dan media.

“Dalam cabaran 40 tahun ini, yang tewas adalah AS dan pemenang adalah republik Islam,” katanya.

Mei lalu, Trump mengumumkan akan menarik diri daripada perjanjian nuklear 2015 dan melaksanakan semula sekatan, mencetuskan kemarahan dalam kalangan kuasa dunia yang berkata Iran mematuhi komitmen untuk mengehadkan program atomnya. – AFP