Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump menyatakan keengganan beliau bertemu Perdana Menteri Kanada, Justin Trudeau pada acara sampingan di Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa Bangsa Bersatu (PBB) dan menuduh negara itu melayan AS dengan buruk.

“Ya, saya enggan. Kanada melayan kami dengan buruk,” katanya kepada wartawan apabila ditanya mengenai keengganan beliau menghadiri pertemuan satu sama satu bersama Trudeau.

Selasa lalu, Trump menolak untuk berjabat dengan Trudeau walaupun Perdana Menteri itu telah menghulurkan tangan.

Trump turut mengkritik perunding yang dilantik Kanada dan mencetuskan keraguan terhadap peluang mencapai persetujuan dalam membentuk semula Perjanjian Perdagangan Bebas Amerika Utara (NAFTA), selain sekali lagi mengugut untuk mengenakan tarif ke atas import kenderaan.

“Saya perlu jujur dengan anda semua. Kami tidak sependapat dengan perunding mereka dan merasakan rundingan itu sebenarnya mengambil kesempatan ke atas AS sejak sekian lama,” katanya.- AFP