Menteri Luar Palestin, Riyad Al-Maliki mendakwa tindakan Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump menghentikan bantuan dana kepada Agensi Kerja dan Bantuan bagi Pelarian Palestin, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNRWA), adalah satu bentuk serangan terhadap undang-undang antarabangsa.

Tindakan Trump mengakibatkan UNRWA kekurangan dana sebanyak AS$200 juta (RM829 juta) dan terpaksa merayu sumbangan dari negara Teluk dan Eropah untuk terus beroperasi.

Ia turut meningkatkan ketegangan antara pentadbiran Trump dan kepemimpinan Palestin.

“Pentadbiran Amerika Syarikat telah memulakan serangan terhadap hak rakyat Palestin dan undang-undang antarabangsa,” kata Riyad ketika menghadiri mesyuarat Liga Arab, bertujuan membincangkan isu berkenaan.

Reuters