KUALA LUMPUR 1 Mac – Anak syarikat milik penuh Tenaga Nasional Bhd. (TNB), Tenaga Wind Ventures UK Ltd., selesai mengambil alih 80 peratus kepentingan dalam dua syarikat tenaga boleh diperbaharui (RE) yang didaf­tarkan di United Kingdom (UK) iaitu GVO Wind Ltd. dan Blue­merang Capital Ltd. dengan nilai perusahaan kira-kira GBP 171 juta (RM924.1 juta)

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Datuk Seri Ir. Azman Mohd. berkata, pembelian dibiayai melalui gabungan dana dalaman dan pinjaman. Ia merupakan pengambilalihan kedua TNB di UK selepas mengambil alih aset fotovoltaik daripada Vortex Solar pada 2017.

Katanya, gabungan portfolio GVO Wind dan Bluemerang Capital merupakan portfolio projek penjanaan angin Tarif Galakan (FiT) yang terbesar di UK terdiri daripada 53 turbin angin sederhana dengan jumlah gabungan kapasiti sebanyak 26.1 megawatt (mW).

“Pengambilalihan ini menandakan kemasukan TNB buat kali pertama ke dalam segmen tenaga berasaskan angin di UK, yang merupakan sebahagian daripada pelan pengembangan antarabangsa TNB untuk lima tahun.

“Memperoleh aset penjanaan angin turut sejajar dengan strategi TNB mengenai pengembangan tenaga boleh diperbaharui di bawah strategi ‘Reimagining Tenaga’ untuk menempatkan syarikat sebagai antara peserta utiliti glo­bal utama menjelang 2025,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Dengan selesainya pengambil­alihan itu, portfolio tenaga boleh diperbaharui antarabangsa TNB akan mempunyai gabungan kapasiti bersih kira-kira 280 mW susulan pengambilalihan Vortex Solar Investments sebelum ini, portfolio 24 ladang fotovoltaik solar dan aset RE lain di Turki dan India.

Menurut Azman lagi, TNB berhasrat untuk meningkatkan portfolio RE kepada saiz yang optimum melalui pembangunan kawasan baharu atau memperoleh portfolio RE lain yang sama atau teknologi pelengkap.

Jelasnya, pengambilalihan aset penjanaan angin di UK merupakan usaha komersial baharu oleh TNB yang mengukuhkan portfolio RE dalam asas asetnya serta meningkatkan pemahaman teknikal dan komersial dalam pasaran RE.

“TNB berharap pelaburan masa depan akan membawa sinergi kepada syarikat,” katanya.

TNB bercadang untuk membangunkan modal insan sebagai sebahagian daripada pengambil­alihan tersebut menerusi latihan dan pendedahan kakitangan TNB dalam operasi penjanaan angin untuk RE, terutamanya di negara maju.

Syarikat utiliti negara akan dibantu oleh Longspur Capital Ltd. yang merupakan pengurus infrastruktur kuasa aset dan pelabur dalam pengurusan portfolio tenaga berasaskan angin.

Sehubungan itu, pengambil­alihan tersebut akan meningkatkan lagi pengetahuan TNB dalam pengurusan aset RE yang secara langsung menyokong aspirasi TNB untuk menjadi pemain industri tenaga global menjelang 2025.