TMJ umum tinggalkan FAM

Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim membayangkan meletakkan jawatan sebagai presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).

Langkah mengejutkan itu dinyatakan melalui kenyataan di laman Facebook FAM dan Johor Southern Tigers sebentar tadi.

“Baru-baru ini kedudukan pasukan kebangsaan jatuh tiga anak tangga dan ini merupakan satu kegagalan yang amat besar!

“Oleh itu saya rasa presiden FAM harus letak jawatan. Ia adalah satu penghormatan untuk berkhidmat kepada bola sepak Malaysia. Selamat maju jaya,” katanya.

Menurut kedudukan terbaru yang dikeluarkan Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) hari ini, Malaysia berada pada kedudukan 178, berbanding 175 pada Januari lalu.

Skuad negara gagal memenangi sebarang perlawanan sejak November 2016.

Tunku Ismail menjadi presiden badan induk bola sepak negara itu selepas menang tanpa bertanding pada 25 Mac lalu.

Pengumumannya hari ini sepuluh hari sebelum ulang tahun pertamanya sebagai presiden FAM.

Sementara itu, Tunku Ismail juga menyenaraikan sejumlah sumbangannya terhadap bola sepak negara sepanjang tempoh singkat memegang ‘kerusi panas’ itu.

“Saya telah memperbetulkan struktur bola sepak tanah air, menarik penaja dan menyediakan pelan jangka panjang untuk bola sepak negara seperti kerjasama bersama La Liga.

“Saya juga memperjuangkan hak penyiaran untuk semua pasukan di Liga Malaysia untuk meningkatkan kestabilan kewangan. Ini adalah sejarah apabila kali pertama pasukan menerima RM1 hingga RM3 juta daripada hak penyiaran.

“Setiap pasukan tidak lagi menggunakan duit rakyat daripada kerajaan,” katanya yang juga pemilik kelab Johor Southern Tigers (JDT).

Kata Tunku Ismail lagi, di bawah kepimpinannya skuad B23, B19 dan B16 negara melakar sejarah apabila kali pertama mewakili negara dalam pertandingan peringkat tertinggi di Asia.

sumber – MalaysiaKini