Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim menolak cadangan pembinaan Universiti Muhammadiyah di Pagoh pada masa depan.

Menurut beliau, fahaman itu bercanggah dengan fatwa negeri Johor dan dibimbangi boleh menimbulkan kekeliruan dalam kalangan masyarakat Islam di negeri ini.

“Saya tidak bersetuju bagi membina Universiti Muhammadiyah di Pagoh kerana agama Islam adalah di bawah tanggungjawab negeri iaitu Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar.

“Fahaman ini bercanggah dengan fatwa-fatwa negeri Johor Darul Ta’zim. Pastinya akan berlaku kekeliruan dan perbalahan dalam kalangan masyarakat sekali gus menyebabkan perselisihan antara umat Islam di Johor,” katanya dalam laman Facebook rasmi miliknya, HRH Crown Prince of Johor.

Akhbar Utusan Malaysia sebelum ini menyiarkan kenyataan Menteri Pendidikan, Dr. Maszlee Malik yang menyokong pembinaan kampus Universiti Muhammadiyah Prof. Dr. Hamka (Uhamka) di negara ini. – Utusan Online