Tentera Laut Diraja Malaysia hari ini mempertahankan keputusan membenarkan isteri menteri pertahanan merasmikan sebuah kapalnya kerana ia adalah tradisinya sejak TLDM ditubuhkan.

TLDM berkata, ia bukan perkara baru untuk “lady sponsor” atau isteri orang kenamaan, seperti isteri perdana menteri, menteri pertahanan atau kerabat diraja menama dan merasmikan kapalnya.

Antara wanita yang pernah berbuat demikian ialah Dr Siti Hasmah Mohd Ali, isteri Dr Mahathir Mohamad yang merupakan timbalan perdana menteri ketika itu, menamakan KD Jebat pada 1985.

Wanita lain ialah Maria Musa, isteri Musa Hitam ketika beliau menjadi timbalan perdana menteri dan Tunku Maziah Tunku Mustapha, isteri Abang Abu Bakar Abang Mustapha yang ketika itu merupakan timbalan menteri pertahanan.

“Bagi kapal-kapal yang dinamakan sempena nama negeri, isteri atau wanita berkaitan dengan negeri tersebut akan dipilih. Seperti KD Kedah dinamakan oleh Puteri Sultan Kedah, Tunku Puteri Intan Safinaz.

“Bagi kapal-kapal dinamakan sempena nama pahlawan, wanita kepada waris nama tersebut atau wanita kenamaan dari negeri tersebut akan dipilih. Contohnya, kapal Littoral Combat Ship (LCS) 1 iaitu Maharajalela dinamakan oleh raja permaisuri Perak.

“Bagi kapal-kapal selain daripada nama negeri dan pahlawan, isteri kenamaan negara dipilih, contohnya KD Tunku Abdul Rahman dinamakan oleh isteri timbalan perdana menteri pada masa itu, iaitu Rosmah Mansor pada 2007,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Kontroversi timbul selepas Normah Alwi, isteri kepada Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu melancarkan Kapal Misi Pesisir di Wuhan, China, semalam.

Pada 2012, Fauzi Abdul Rahman yang merupakan pengerusi Kor Bekas Angkatan Tentera (Kobat) ketika itu mempersoalkan tindakan Rosmah melancarkan kapal latihan Gagah Samudera milik TLDM.

Fauzi dilaporkan berkata, pelancaran itu sepatutnya disempurnakan anggota Kabinet atau mengikut protokol kerajaan, bukannya isteri perdana menteri. – FMT