Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Datuk Seri Mukhriz Mahathir berkata pihaknya menerima dengan hati terbuka keputusan Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih yang tidak memihak kepada Pakatan Harapan (PH) yang meletakkan calon daripada Bersatu.

Naib presiden PH itu berkata gabungan berkenaan akan membaiki segala kelemahan bagi memenangi kembali hati rakyat.

“Kami sudah cuba sedaya mungkin tapi rakyat lebih tahu apa pilihan mereka, kami terima keputusan ini dengan hati terbuka. Mana-mana kelemahan akan kami baiki,” katanya kepada pemberita di bilik gerakan utama PH di sini malam tadi.

Barisan Nasional (BN) menawan semula kerusi DUN Semenyih selepas calonnya, Zakaria Hanafi memenangi persaingan empat penjuru dengan majoriti 1,914 undi.

Kata Mukhriz: “Kami anggap (kekalahan) ini sebagai satu mesej yang mana kami perlu hayati sebaik mungkin.”

Zakaria, 58, meraih 19,780 undi untuk menewaskan calon PH Muhammad Aiman Zainali, 30, yang memperoleh 17,866 undi; Nik Aziz Afiq Abdul, 25, daripada Parti Sosialis Malaysia (PSM) (847 undi) dan calon bebas yang juga aktivis masyarakat, Kuan Chee Heng, 56, (725 undi).

Keputusan rasmi itu diumumkan Pegawai Pengurus Pilihan Raya Datuk Mohd Sayuthi Bakar pada kira-kira 9.20 malam di Dewan Seri Cempaka Majlis Perbandaran Kajang, Saujana Impian, Kajang.

Dalam pada itu, Muhammad Aiman mengucapkan terima kasih kepada kepimpinan PH yang meletakkan beliau sebagai calon dalam PRK berkenaan.

“Terima kasih juga kepada pengundi yang mengundi saya hari ini,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Pengerusi (BN) Datuk Seri Mohamad Hasan berkata kerjasama baik antara BN dan Pas membuahkan hasil di kerusi DUN Semenyih.

“Kami juga hendak lihat negara diurus dengan baik. Kami (BN dan PAS) mahu membuat semakan dan imbangan (kepada urusan pentadbiran negeri dan negara),” katanya kepada pemberita di Dewan Seri Cempaka yang menjadi pusat penjumlahan rasmi undi bagi PRK itu.

Zakaria pula merakamkan ucapan terima kasih kepada pengundi di Semenyih yang telah memberi kepercayaan kepadanya untuk menjadi wakil rakyat.

Bagi Kuan atau lebih dikenali sebagai Uncle Kentang, biarpun tewas namun beliau amat berpuas hati dengan sokongan yang diberikan warga Semenyih.

“Undian yang saya terima menjangkau sasaran saya, saya berpuas hati. Saya akan terus berkhidmat dan membantu rakyat di Semenyih dan kawasan lain,” katanya.

Beliau turut melahirkan hasrat bertanding di kerusi Parlimen Puchong pada pilihan raya umum akan datang. – BERNAMA