Tentera penjajah Zionis tengahari tadi memusnahkan 200 semaian kaktus milik penduduk Palestin di perkampungan Bardala di Lembah Jordan, utara Tebing Barat.

Pokok-pokok terbabit disemai sejak lima bulan lalu oleh Faris Sawafta.

Lembah Jordan membentuk satu per tiga daripada keluasan Tebing Barat, dan 88% daripada tanahnya terletak dalam Kawasan C yang dikawal penuh oleh tentera Zionis sejak 1967. Ia merupakan tanah subur yang menjadi pusat pertanian penting Tebing Barat, namun lebih 44% daripada kawasannya telah dirampas oleh rejim Zionis untuk tujuan ketenteraan.

Menurut Pejabat Koordinasi Hal Ehwal Kemanusiaan PBB (OCHA), lebih 60% daripada 6,000 penduduk Badwi telah dihalau keluar dari tanah mereka di Lembah Jordan sejak 2008. – Haluan Palestin