Pendidikan keluarga menjadi asas utama dalam menangani gejala maksiat termasuk lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) yang mula meningkat di negara ini.

Mufti Perak, Tan Sri Dr Harussani Zakaria berkata, ibu bapa adalah guru terbaik dalam keluarga untuk mencorakkan generasi awal menghindarkan diri dari gejala itu meskipun sudah ada undang-undang mencegahnya.

“Undang-undang yang ada sekarang ini Alhamdulillah itu pun tak terlaksana. Cuma yang penting adalah pendidikan.

“Dalam keluarga, ibu adalah guru kepada anak-anak manakala bapa adalah asas yg membangunkan manusia. Guru yang mengajar itu adalah ibu dan wajib kita taat,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas merasmikan Seminar Falak Nusantara 2018 di Institut Tanah dan Ukur Negara di sini, hari ini.

Menurutnya, LGBT bukanlah perkara baharu dalam negara malah, undang-undang sedia ada sudah mencukupi untuk mencegahnya.

“Manusia diciptakan mempunyai akal dan nafsu. Akal yang menjadi pertimbangan dalam diri dan bila akal rosak, itulah jadi penyelewengan dalam agama.

“Isu itu yang ketara (menyuarakan) adalah orang Islam. Kita tahu ramai yang bukannya orang Islam tetapi mereka tidak menyerlah. Yang menyerlah adalah orang Melayu, ini yang susah,” katanya.

Mengenai penganjuran ‘Kissing krist & Singto Fan Meeting in Malaysia’ yang berlangsung Sabtu ini, Harussani menjelaskan perbuatan bercumbu sesama lelaki itu adalah haram.

– Sinar Harian