Kerajaan tidak pernah mengeluarkan kenyataan berhubung penghapusan subsidi kos mengerjakan haji bagi bakal jemaah yang pergi atas tiket rayuan atau sebagai pengiring mahram, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mujahid Yusof Rawa.

Sebaliknya kata beliau, perkara itu adalah atas budi bicara Lembaga Tabung Haji (TH) yang akan membuat pertimbangan berdasarkan kemampuan individu terbabit.

“Hari ini tular, mungkin berniat jahat, ditulis tiada subsidi kepada yang merayu atau mengiringi. Tiada kenyataan rasmi sedemikian, yang ada untuk yang merayu jika berjaya TH akan ambil kira kemampuan,” katanya pada sidang media selepas merasmikan mesyuarat agung tahunan Persatuan Pesara Kerajaan Malaysia daerah Kerian, di sini hari ini.

Mujahid yang juga Anggota Parlimen Parit Buntar mengulas isu tular bahawa individu yang merayu atau pengiring mahram ke Tanah Suci tidak layak mendapat subsidi haji seperti sebelum ini sebagaimana satu jawapan di Facebook Lembaga Tabung Haji.

Mengulas lanjut, Mujahid berkata, beliau akan mengadakan pertemuan dengan TH bagi mencari mekanisme sesuai untuk menentukan pemberian subsidi bagi yang merayu atau pengiring mahram.

Katanya, mekanisme berkenaan penting kerana adalah tidak adil jika subsidi turut diberikan kepada mereka yang berkemampuan.

Pada Khamis, Mujahid mengumumkan bayaran untuk menunaikan haji bagi jemaah haji muassasah yang menunaikan haji kali pertama kekal RM9,980 dengan kerajaan menanggung subsidi sebanyak RM12,920.

Kos menunaikan haji tahun ini ialah sebanyak RM22,900 berbanding RM22,450 pada musim lalu. – Bernama