Imej satelit yang diambil pada bulan September menunjukkan kem pengasingan di Xinjiang. Bangunan di sudut kiri atas kelihatan seperti reka bentuk yang biasa digunakan oleh kilang-kilang. (Terraserver/Digital Globe)

Ratusan ribu tahanan etnik Islam Uighur yang ditempatkan di kem-kem tahanan Xinjiang mendakwa dijadikan sebagai buruh paksa semasa bekerja di kilang di dalam premis itu.

New York Times melaporkan, kerajaan China menggambarkan tahanan itu sebagai model ‘penyesalan’ yang menerima gaji lumayan sebagai pekerja kilang selepas ditahan beberapa bulan dan murtad.

Parti Komunis China mendakawa etnik Uighur yang ditahan itu diberikan latihan kerja dan pekerjaan untuk kebaikan mereka selain keluar daripada belenggu kemiskinan, kemunduran serta pengaruh radikal Islam.

Bagaimanapun, bukti-bukti menunjukkan wujud sistem buruh paksa dari kem tahanan itu dan perkembangan tersebut dijangka meningkatkan lagi kecaman antarabangsa terhadap usaha Beijing mengawal dan mengindoktrinasikan kira-kira 12 juta etnik Uighur di Xinjiang.

Gambar satelit dan dokumen rasmi yang tidak dilaporkan sebelum ini menunjukkan peningkatan jumlah tahanan dihantar ke kilang baharu sama ada di dalam atau berhampiran kem, memaksa penduduk tidak mempunyai pilihan melainkan mengikut arahan itu.

Seorang penyelidik Turki yang mengumpul maklumat tahanan Uighur daripada ahli keluarga mereka, Mehmet Volkan Kasikci berkata, mereka yang ditahan itu menyediakan buruh paksa percuma atau kos rendah kepada kilang.

Katanya, seorang tahanan memaklumkan bahawa dia yang bekerja di sebuah tekstil hanya diberi gaji sebanyak AS$95 (RM397) sebulan.

“Cerita-cerita ini berterusan sampai kepada saya,” katanya.

China mengabaikan bantahan antarabangsa terhadap program tahanan di Xinjiang dengan menahan umat Islam dan memaksa mereka keluar daripada agama selain berikrar taat setia kepada parti.

Malah, dakwaan program buruh itu menunjukkan hasrat kerajaan China meneruskan operasi kem berkenaan di sebalik gesaan daripada agensi hak asasi manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan Amerika Syarikat (AS) yang mahu premis tersebut ditutup.

Mengikut laporan rancangan kerajaan, program itu menyasarkan transformasi kepada etnik minoriti seperti Uighur, Kazakhstan dan sebagainya supaya lebih berdisiplin, mampu bercakap bahasa Cina dan taat kepada parti Komunis serta majikan mereka.

Sementara itu, pengasas kumpulan hak asasi manusia Atajurt Kazakh, Serikzhan Bilash berkata, beliau telah menemubual 10 ahli keluarga tahanan yang memaklumkan kepada keluarga masing-masing bahawa mereka diarahkan bekerja di kilang selepas menjalani proses indoktrinasi di kem berkenaan.

Katanya, kebanyakan etnik itu membuat pakaian dan mereka memanggil majikan sebagai ‘kilang hitam’ kerana upah rendah dan keadaan yang teruk. – Utusan Online