Kementerian Luar Syria pada hari Isnin (18/03) mengutuk rancangan Washington untuk memperuntukkan USD 5 juta (RM 20.4 juta) kepada organisasi bukan kerajaan White Helmets sebagai langkah “terdesak”, dan mencadangkan kepada Amerika supaya berhenti untuk membiayai keganasan.

“Tindakan putus asa oleh Amerika ini, membuktikan bahawa Amerika masih bergantung kepada sokongan terhadap keganasan sebagai satu cara untuk mencapai objektifnya di Syria, Republik Arab Syria sangat mengutuk dasar Amerika dalam menyokong pengganas, terutama White Helmets, dan menyeru kerajaan Amerika untuk menghentikan pembiayaan dan penghantaran senjata kepada Jabhat al-Nusra dan kumpulan pengganas yang bergabungan dengannya, “kata kementerian itu.

Minggu lalu, Kementerian Luar Amerika mendedahkan rancangan untuk memperuntukkan USD 5 juta (RM 20.4 juta) kepada White Helmets dan Mekanisme Antarabangsa Neutral dan Bebas PBB – (IIIM-UN) yang menyiasat jenayah di Syria. Gerakan ini diatur dan disahkan oleh Kongres Amerika.

White Helmets adalah badan bukan kerajaan (NGO) yang mendakwa sebagai kumpulan penyelamat sukarela yang membantu Syria daripada serangan dan menjalankan operasi menyelamat. Walau bagaimanapun, kumpulan itu menghadapi kritikan yang kuat dari pihak Syria sendiri dan juga Rusia. Mereka terbukti menyokong pengganas dan menjalankan provokasi yang melibatkan senjata kimia yang bertujuan untuk membenarkan potensi campur tangan asing di Syria.