Penasihat Negara Myanmar, Aung San Suu Kyi yang berdepan kecaman antarabangsa kerana kekejaman ke atas etnik Rohingya menggesa ‘budaya damai’ untuk menamatkan konflik antara komuniti.

Penerima Hadiah Nobel Keamanan itu bagaimanapun tidak menyatakan krisis Rohingya dalam ucapannya ketika mesyuarat antarabangsa anjuran kumpulan Unification Church di Kathmandu.

“Hanya dengan mempromosikan budaya damai dalam dunia saling bergantung antara satu sama lain ini, ia mungkin dapat mewujudkan keharmonian antara negara dan masyarakat yang pelbagai,” katanya, semalam.

Ikon prodemokrasi itu juga menggesa kerja sama antara negara untuk mencari keamanan dan kesejahteraan bersama.

Suu Kyi yang memegang sama dengan perdana menteri itu terus dikritik negara antarabangsa sejak tentera Myanmar melancarkan operasi ke atas etnik Rohingya pada Ogos 2017.

Ucapannya di mesyuarat di Kathmandu itu yang disokong Universal Peace Foundation dibuat sehari selepas Paris mengumumkan untuk menarik balik Anugerah Kehormat berkaitan kebebasan kerana beliau gagal membuka mulut tentang penindasan ke atas penduduk minoriti terbabit.

Bandar di Britain seperti Glasgow, Edinburgh dan Oxford telah mengambil langkah sama terhadap Suu Kyi selepas beliau enggan mengutuk kekejaman dilakukan tentera terhadap etnik Rohingya. – AFP