Pelbagai isu berkaitan yang membabitkan rakyat dan Istana menjadi topik perbincangan diantara Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad bersama Sultan Johor, Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar di Istana Bukit Serene, di sini hari ini (10/01).

Kata Tun Mahathir, pandangan beliau telah diterima baik oleh Sultan Ibrahim dalam pertemuan penuh mesra.

Katanya, kedua-duanya juga bersetuju untuk berterus terang di masa hadapan.

“Saya boleh berkomunikasi dengan Baginda (Sultan Ibrahim), kita bersetuju supaya kita lebih ‘frank’ (terbuka), bercakap secara berterus-terang dan tiada sembunyi-sembunyi. Baginda bagi pandangan Baginda, saya bagi pandangan saya,” kata beliau pada sidang media di Lapangan Terbang Antarabangsa Senai, Johor Bahru, Johor.

Malah katanya beliau juga melahirkan persetujuan untuk bertemu dengan Sultan Ibrahim pada masa akan datang sekiranya diperlukan.

Ketika ditanya adakah pertemuan itu ada membincangkan tentang pelantikan Yang di-Pertuan Agong yang baharu, Tun Mahathir berkata persoalan mengenai institusi Raja-Raja tiada kaitan dengan beliau.

“Itu soal Raja-Raja tidak ada kena mengena dengan saya,” katanya ringkas.